Tuesday, 22 May 2012

Puasa Ramadhan (bahagian 2)

Syarat Wajib Puasa.

Puasa Ramadhan menjadi wajib apabila sempurnanya perkara berikut :

1. Islam - Puasa tidak diwajibkan ke atas orang kafir (di dunia) selagi mana dia tidak masuk Islam kerana tidak ada makna baginya  puasanya itu. Adapun di akhirat, mereka akan disiksa atas kerana kekafirannya dan meninggalkan cabang-cabang Islam (seperti berpuasa).

2. Taklif - Orang Islam itu sudah berakal dan baligh. Sekiranya hilang salah satu daripada dua sifat ini maka tiada padanya sifat taklif.

3. Tiada keuzuran yang menghalangnya berpuasa ataupun megharuskannya berbuka - keuzuran yang menghalang berpuasa ialah : 
  • Berada dalam keadaan haid atau nifas pada mana-mana bahagian waktu siang.
  • Pengsan ataupun gila sepanjang hari. Sekiranya dia sedar pada waktu siang walaupun satu saat, maka hilanglah keuzuran tersebut dan dia wajib menahan diri untuk  baki hari tersebut.

keuzuran yang mengharuskan berbuka ialah :

  • Sakit yang mendatangkan mudharat yang besar ataupun kesakitan dan kebimbangan yang amat dahsyat kepada orang yang berpuasa.
  • Musafir yang jauh yang tidak kurang daripada 93 km dengan syarat ia adalah permusafiran yang dibenarkan dan mencakupi sehari (bermusafir dari awal pagi dan bukannya bermula waktu siang)
  • Tidak mampu berpuasa (disebabkan terlalu tua atau sakit yang tiada harapan sembuh)

Syarat Sah Puasa

1. Islam; tidak sah puasa orang kafir.

2. Berakal yang bermaksud mumayyiz, tidak sah puasa orang gila dan kanak-kanak yang belum mumayyiz kerana mereka tidak memiliki niat. Apabila usianya telah mencapai 7 tahun, dia hendaklah diminta supaya berpuasa jika dia mampu melaksanakannya. Apabila usianya mencapai 10 tahun, dia hendaklah dipukul kerana meninggalkannya sebagaimana sembahyang.

3. Tidak mempunyai keuzuran yang menghalangnya daripada berpuasa seperti berada dalam keadaan haid atau nifas, pengsan atau gila sepanjang hari.