Monday, 21 May 2012

Puasa Ramadhan (bahagian 1)

بسم الله الرحمن الرحيم

          InsyaAllah, penulisan pada kali ini saya petik dari kitab Feqah Imam Syafie yang telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu.


Pengertian Puasa.

Puasa dari sudut bahasa adalah menahan diri daripada sesuatu. Manakala puasa dari sudut syarak bermaksud menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari disertai dengan niat.

Sejarah Pensyariatan Puasa.

Puasa Ramadhan difardhukan pada bulan Sya'ban tahun kedua hijrah.

Dalil di syariatkan puasa.

Dalil difardhukan puasa pada bulan Ramadhan ialah pada firman Allah Taala :

شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُ‌ۖ


(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu (Al-Baqarah : 185)


Sabda Nabi S.A.W kepada A'rabi (Arab Badawi) yang telah bertanya Baginda :
"Beritahu kepada aku puasa yang telah difardhukan oleh Allah ke atas aku?" Jawab Baginda : "Puasa bulan Ramadhan." Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hukum meninggalkan Puasa Ramadhan Tanpa Keuzuran.

Orang yang mengingkari kefardhuan puasa Ramadhan adalah kafir dan dia hendaklah diperlakukan sebagaimana diperlakukan terhadap orang murtad. Manakala orang yang meninggalkan puasa tanpa keuzuran dan dia tidak mengingkari kewajipannya seperti dia berkata : "Saya wajib berpuasa tetapi saya tidak mahu berpuasa," maka orang ini hukumnya fasik dan tidak kafir. Pemerintah orang-orang Islam wajib menahannya (mengurungnya / memenjarakannya) dan menghalangnya daripada makan dan minum pada waktu siang supaya puasa daripada makan dan minum pada waktu siang terlaksana padanya, walaupun sekadar zahirnya sahaja.

Hikmah, Rahsia, dan Faedah Berpuasa.
  1. Menyedarkan hati seorang mukmin terhadap muraqabah Allah Azzawajalla.
  2. Ramadhan adalah bulan suci dibandingkan dengan semua bulan dalam satu tahun dari sudut perhambaan kepada Allah.
  3. Membersihkan jiwa dan menghaluskan perasaan seseorang muslim.
  4. Memupuk nilai kasih sayang sesama muslim.