Sunday, 29 January 2012

Rahsia Iblis dari Dialog Antara Iblis dan Rasulullah SAW (part 1)

          Allah SWT telah menitahkan Malaikat untuk berjumpa Raja Iblis dan menyuruh Iblis mengadap kepada Baginda Junjunga Besar Nabi Muhammad Rasulullah SAW bagi membuka segala jenis rahsia kegemaran dan kebencian Iblis. Peristiwa ini juga membayangkan ketinggian darjat Baginda Rasulullah SAW serta menjadi perisai dan peringatan kepada sekelian umat Baginda SAW.

          Malaikat menyatakan titah Allah SWT kepada Iblis : " Hai Iblis!! Bahawa Allah SWT Yang Maha Mulia lagi Maka Besar telah menitahkan engkau supaya mengadap kehadhirat Rasulullah SAW dan hendaklah engkau membuka segala rahsia mu dan apa-apa yang disoal oleh Nabi Muhammad SAW. Hendaklah engkau menjawab dengan benar dan sekiranya engkau berdusta walau satu perkataan sekalipun nescaya diputuskan segala anggotamu dan uratmu serta engkau akan disiksa dengan azab yang amat keras."

         Mendengar sahaja perkataan Malaikat berkenaan, Iblis terasa dahsyat dan amat gerun sekali. Dengan segera Iblis datang mengadap Baginda Rasulullah SAW dengan menyamar menjadi seorang tua yang buta sebelah matanya serta berjanggut putih sebanyak 10 helai yang panjangnya seperti ekor lembu.

          Iblis memberikan salam dengan penuh hormat dan takzim sebanyak 3 kali yang tiada dijawab oleh Baginda Rasulullah SAW. Iblis pun bertanya : " Ya Rasulullah! Mengapakah Tuan Hamba tidak menjawab akan salam hamba kerana bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah SWT?"

       Maka sabda Baginda SAW : " Hai aduwullah musuh Tuhan ! Kepada akukah engkau menunjukkan helahmu?  Patutkah engkau dengan urusanmu itu hendak menipu Nabi Allah Adam a.s sehingga terkeluar dari syurga dan Habil mati teraniaya dibunuh oleh Qabil dengan sebab hasutan engkau.

Serta Nabi Allah Ayyub a.s engkau tipu asap racun semasa Baginda sujud di dalam solatnya hingga lama Baginda menanggung sebgsara oleh perbuatan engkau. Dan Nabi Allah Daud a.s dengan perempuan pahlawan Urya serta Nabi Allah Sulaiman a.s meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya untuk melarikan cincin baginda;

Demikian juga beberapa Anbiya a.s.w.s serta para ulama yang telah menanggung kesengsaraan dan penganiayaan oleh perbuatan mu yang khianat." 

"Hai iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia pada Tuhan Azza Wajalla. Hanya salam engkau sahaja aku tidak ingin menjawabnya kerana telah diharamkan oleh Tuhan dan engkau ini terlaknat serta telah ditentukan kepada engkau ke dalam neraka yang amat keras bagi menyiksa dirimu. Maka aku kenal sangat bahawa engkaulah Iblis yang menjadi raja segala syaitan telah datang dalam bentuk penyamaran." 

bersambung...

No comments:

Post a Comment