Thursday, 1 December 2011

Selawat Fatih (bahagian 4)

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين فهو رب العرش العظيم الذى يُصلّ على النبى. والصلاة والسلام محقق على رسول الله
صلى الله عليه وسلم حق قدره ومقدره العظيم, وعلى آله أطهار وأصحاب الأخيار

Coretan pada kali ini adalah berkenaan kekeliruan dan keraguan yang dihadapi sesetengah dari kita dan sering melontarkan beberapa soalan seperti ini :

  1. Kami dah berselawat tapi kenapa hati masih tak tenang? Bukankah selawat dapat menenangkan hati?
  2. Kami dah berselawat tapi masih menjadi pemarah.
  3. Kami dah berselawat tapi hajat kami masih tak tercapai.
  4. Kami dah berselawat tapi penyakit kami masih tak sembuh.
  5.  Kami dah berselawat tapi susah juga nak mengaji.
  6. Kami dah berselawat tapi masih tak berupaya untuk melakukan ibadat.
  7. Kami dah berselawat tapi masih melakukan maksiat.
  8. Kami dah berselawat tapi kenapa rezeki tak melimpah seperti yang dijangka?
  9. Kami dah berselawat tapi kenapa masih tak mendapat jodoh?
  10. Dan berbagai-bagai soalan yang berkaitan permasalahan selawat.


Justeru, seperti yang kita ketahui, selawat ini mempunyai berbagai-berbagai kelebihan dan manfaat. Tidak kira apa jenis atau nama selawat yang anda amalkan, semua itu adalah bagus. Contohnya seperti Selawat Tafrijiyyah dapat memudahkan urusan, Selawat Syifak dapat menyembuhkan penyakit, Selawat Anwariyyah dapat memudahkan mendapat ilmu, Selawat Fatih dapat merungkaikan segala kesulitan, Selawat Munjiyah dapat menunaikan hajat. Dan beratus atau beribu jenis selawat-selawat yang lain. Jika hendak mengamalkan semua selawat yang terdapat di atas muka bumi ini kemungkinan kita tak mampu dengan lemahnya himmah (keazaman) dan kesibukan kita mengejar urusan duniawi, maka cukuplah di amalkan 1 atau 2 selawat tetapi secara istiqamah (konsisten). Jangan ditinggalkan dan jangan bersemangat untuk mengamalkannya secara banyak sekaligus kemudian terus hi-hi bye-bye.

Begini sahabat sekelian, pertama sekali kita kena fahamkan bahawa kesemua kelebihan dan manfaat itu akan terlaksana dengan izin Allah jua. Bukanlah bermakna apabila membaca selawat syifak maka selawat syifak yang menyembuh atau Rasulullah SAW yang menyembuh tetapi Allah Subhanahu Wa Taala lah yang menyembuh.

Janganlah menjadi seperti suatu puak yang menyatakan bahawa syirik mengamalkan Selawat Syifak umpamanya kerana kita mengatakan bahawa Rasulullah SAW yang menyembuh, bukannya Allah Subhanahu Wa Taala yang menyembuh. Amat dangkal dan cetek sungguh kefahaman mereka, tetapi mendabik dada, bercakap dan berpakaian umpama ulamak pada zahirnya.

Oleh itu, sahabat-sahabat perlu memahami bahawa membaca selawat ini hanya menjadi asbab (sebab) sahaja untuk membolehkan kita mendapatkan sesuatu hajat contohnya. Maka apabila kita mengalami kepayahan dalam sesuatu perkara, sudah banyak ikhtiar yang kita lakukan namun masih tidak berjaya tetapi dengan hanya membaca satu kali selawat sahaja dapat menguraikan kepayahan tersebut. Adakah selawat tersebut yang menguraikan kepayahan tersebut?? Sudah mestilah tidak, Allah SWT yang menguraikan kepayahan tersebut dengan sebab kita membaca selawat. Jadi dengan berkat membaca selawat dan dengan berkat kita memuji Rasulullah SAW dan dengan kemuliaan diri Rasulullah SAW, tuan punya selawat, Allah SWT pun memudahkan kepayahan kita tadi.

Kemudian perlu juga kita fahami bahawa setiap perkara yang berlaku adalah dengan izin Allah SWT, jika kita membaca 100 000 kali selawat pun, tetapi tidak diizinkan oleh Allah SWT maka tidak akan berhasil kehendak kita itu. Semuanya adalah dengan kehendak Allah SWT jua. Maka janganlah berputus harap dari nikmat dan rahmat Allah SWT, kerana walaupun tidak tertunai hajat seperti yang kita kehendaki namun Allah SWT lebih mengetahui apa-apa yang lebih baik bagi diri kita. Tetapi, teruslah berselawat dan berusaha kerana Allah SWT itu sangat pengasih, DIA tidak akan membebankan hambaNYA.

Sedikit sambungan dari perkara ini chek ingin menerangkan bahawa, setiap yang berlaku terdapat dalam ilmu Allah SWT, dalam kekuasan Allah SWT, dan dalam kehendak Allah SWT. Jadi setiap perkara yang berlaku ini di dalam Qada' dan Qadar Allah SWT seperti yang kita sedia imani (percayai). Cumanya ingin diberitahu di sini bahawa, takdir Allah itu terdapat dua bentuk :-
  1. Takdir Mubram
  2. Takdir Mu-'allaq

Takdir Mubram = takdir yang tidak boleh diubah yakni setiap urusan yang terdapat dalam takdir mubram tidak akan berubah sekali-kali. Contohnya jika Allah SWT telah menetapkan bahawa kita akan mati pada jam 12 pagi, hari Khamis, 20hb Februari 1429H, akibat serangan jantung, di rumah mertua, ketika sedang makan, maka tetap akan berlaku perkara sedemikian, tidak kira apa usaha yang kita buat. Takdir ini tidak berubah sama sekali.

Takdir Mu-'allaq = takdir yang tergantung yakni bergantung kepada sesuatu sebab yakni takdir yang boleh berubah-ubah bergantung kepada usaha dan doa makhluk. Setiap takdir sudah ditetapkan oleh Allah SWT dan terdapat di dalam ilmuNYA, jangan tersilap faham dengan mengatakan Allah SWT tidak tahu atau baru mengubah takdir kita. Contoh takdir ini adalah seperti :- Allah telah menetapkan bahawa kita akan cedera parah akibat kemalangan pada jam 12 pagi, hari Khamis, 20hb Februari 1429H, akibat perlanggaran dengan lori, di lebuhraya utara-selatan, ketika sedang membonceng motosikal, tetapi disebabkan kita berusaha makan menservis motosikal kita dan membawa dengan penuh cermat serta berdoa kepadanya sebelum membonceng motosikal tersebut maka, Allah SWT mengubah daripada mati kepada cedera ringan akibat perlanggaran dengan motosikal juga. Jadi, takdir akibat dilanggar tetap terjadi namun diringankan daripada dilanggar lori kepada dilanggar motosikal, daripada cedera parah kepada cedera ringan. Ini dikatakan takdir mu-'allaq.

Berbalik kepada persoalan asas kita, jadi setiap yang berlaku itu samada berada di bawah takdir mubram atau di bawah takdir mu'allaq, kita sendiri tidak mengetahui, hanya Allah jua yang Maha Mengetahuinya cumanya wajib atas kita berusaha dan berikhtiar. Jadi membaca selawat termasuk salah satu jalan kita berusaha selain usaha fizikal yakni jika kita sakit kepala contohnya, maka di samping makan ubat sakit kepala kita pun berselawat memohon kepada Allah SWT supaya di sembuhkan dari penyakit tersebut.

Oleh yang demikian, apabila kita membaca selawat tetapi tidak seperti yang kita harapkan maka boleh jadi dua kemungkinan :-
  1. Samada Allah telah tetapkan perkara yang berlaku itu tetap akan berlaku.
  2. Samada Allah SWT telah mengubah dari perkara yang lebih buruk berlaku kepada perkara yang berlaku itu.

Apa-apa kemungkinan pun, kita terimalah dengan redha dan syukur kerana itulah yang terbaik daripada Yang Maha Mengetahui kepada kita. Janganlah berputus asa atau berasa gundah gulana kerana hajat kita tak dipenuhi. Terus menerus berselawat dan berusaha.

Seterusnya, niat kita semasa membaca selawat tersebut. Selalunya yang berlaku kita membaca selawat ini atas niat-niat tertentu dan berkehendak supaya terjadi seperti yang kita kehendak bukannya seperti yang Allah SWT yang kehendak. Jadi saya menasihatkan kepada sahabat-sahabat, bacalah selawat ini kerana dua perkara ini :-
  1. Menghambakan diri kepada Allah SWT yakni ikhlas kerana Allah SWT semata-mata. Jadi ikhlas bukan perkara yang nampak atau boleh di tuturkan dengan lidah. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Kita sendiri pun tidak tahu adakah kita benar-benar ikhlas.
  2. Kerana kasih kepada Rasulullah SAW. Bacalah selawat dengan dasar mahabbah (kecintaan) kepada Rasulullah SAW kerana sudah sedia maklum Rasulullah SAW sangat-sangat menyayangi umat Baginda sehinggakan ketika sakaratul maut (di ambang kematian) pun Rasulullah SAW menyebut "Umatku, Umatku" kerana kasih Baginda tidak terhingga kepada umatNya. Adalah amat malang bagi sesiapa yang tidak berselawat ke atas Baginda dalam sehari walaupun satu kali. Sungguh lemah dan sungguh tidak terpancar rasa kasih kepada Rasulullah SAW.

Justeru itu, bacalah selawat atas dua dasar ini, jangan mencampur aduk dengan niat-niat yang lain walaupun harus berbuat demikian. Namun seelok-eloknya biarlah Yang Maha Mengurus dan Mengetahui, mengurus urusan kita, DIA lebih mengetahui yang mana TERBAIK buat diri kita.

Jika difikir-fikirkan, bagaimana kita boleh meletakkan hajat duniawi di dalam hati kita sedangkan tempat di hati itu hanya untuk Allah SWT dan RasulNYA. Kita boleh mengongsi tempat untuk Allah Jalla Jalaluh dan Rasulullah Al-Mukhtar
dengan kehendak duniawi? Layakkah sedikit kehendak duniawi itu jika dibandingkan dengan martabat Ketuhanan Allah SWT dan martabat Kerasulan Rasulullah SAW?? Anda sendiri boleh menjawab persoalan ini rasanya....

Kesimpulannya, berselawatlah atas Rasulullah SAW tidak kira apa keadaan, di mana kita berada, atas apa situasi dan berterus-terusan berselawat kepada Baginda, janganlah kita meninggalkan amalan yang mulia ini di samping membaca Al-Quran dan ibadat-ibadat fardhu yang lain. Allah SWT tidak akan memerintahkan kita berselawat melainkan ada hikmah dan ganjaran dan manfaat yang khusus serta mulia di sisiNYA.

Tidak mahukah kita bertemu dengan Rasulullah SAW di masa kita hidup ini samada secara mimpi atau nyata?? Tidak teringinkah kita melihat rupa paras makhluk Allah SWT yang sebaik-baiknya. Tidak terdetikkah hati kita untuk menjadi umat Baginda SAW yang terbaik yang sentiasa berada di sisi Baginda SAW selalu? Jika sahabat-sahabat ada keinginan ini, chek ucapkan tahniah kerana Allah SWT telah membuka hati anda untuk mendekatkan diri kepadaNYA dan kepada RasulNya.

Terus-meneruslah berselawat atas Baginda Rasulullah SAW. Sesungguhnya selawat itu sangat besar ganjarannya. Sesiapa yang mengetahui kelebihan selawat yang sangat besar itu pasti tidak akan meninggalkan berselawat dengan mudah-mudah.

Akhir kalam, chek memohon ampun dan maaf jika tersalah dan tersilap dalam menulis artikel ini. Chek juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat chek yang memberi sepenuh kepercayaan kepada chek selama ini.

و صلى الله على سيدنا ونبينا وحبيبنا محمد صلى الله عليه وسلم و على آله وصحبه أجمعين. والحمد لله رب العالمين